Project Description

AKHIR KIAMAT DI DALAM HATI

PENULIS : FELLINA NADEA



SINOPSIS

Sebagaimana Allah SWT mencipta Fel, pasti Allah SWT sudah mengatur segala yang indah-indah buat Fel. Fel saja yang tidak tahu. Tetapi, biasalah kita sebagai manusia, selalu mengeluh dengan apa yang kita ada. Tak pernah nak rasa cukup. Selalu nampak kelebihan orang sebagai tuah. Malah selalu juga menganggap ujian yang menimpa kita sebagai nasib malang. Betapa kita lupa kita adalah kita dan orang lain layak mendapat apa yang mereka usahakan.

Allah SWT sudah menjanjikan rezeki kepada sekian-sekian manusia dengan sekian- sekian usaha. Jujur, kadangkala kita tidak pernah mengenal erti usaha, tetapi jauh di sudut hati, kita tetap mengharapkan satu keajaiban terjadi. Ia adalah satu perkara yang mustahil kerana tanpa usaha, kesenangan tidak akan turun menderu dari langit. Tidak mungkin. Kita terlebih dahulu perlu menjadi seseorang untuk menggalas mandat sebagai idola. Nak hidup senang dan dipandang mulia, kita harus senangkan jiwa dan menjadi mulia. Kalau sudah menjadi jahat, semua orang pasti membenci, maka dari celah mana mampu kita raih perkataan mulia itu? Fikir baik-baik.

Tetapi kejahilan mengatasi pemikiran celik. Kalau fikiran sedang diselimuti kejahilan, berfikir dan bertindak macam mana sekalipun,  ketidakbijakan kita akan tetap terserlah dan tertelanjang. Sejarah lampau telah memberikan Fel pengajaran yang terlalu banyak. Dahulu, Fel kurang motivasi diri. Kurang penghayatan dalam agama. Senang cakap, terlalu taasub mencintai dunia. Buatlah apa jua perkara dan urusan, hati selalu berasa gusar dan merusuh tidak menentu, memikirkan pandangan manusia lain terhadap kita. Sungguh ironi, kerana jarang sekali diri ini mahu berfikir, bagaimanakah pula pandangan dan penilaian Allah SWT terhadap diri kita?